Kelantan Red Warrior FC fokus hadapi cabaran, cari penyelesaian isu media sosial
Kelantan Red Warrior FC (KRW) telah tampil bagi menjelaskan perkembangan terkini kelab serta isu-isu yang dihadapi sejak pengurusan baharu mengambil alih yang mana menyaksikan Presiden KRW, Datuk Zaki Harun bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Fajarul, selain turut melibatkan bekas presiden bagi memberi penjelasan menyeluruh kepada para penyokong dan media.
Antara isu utama yang dibangkitkan ialah berhubung akaun media sosial rasmi kelab yang digodam oleh individu atau pihak tertentu.
Perkara itu bukan sahaja menjejaskan komunikasi dengan penyokong, tetapi juga mengganggu perjalanan kelab yang sedang berusaha membina asas kukuh sebagai sebuah pasukan baharu.
Datuk Zaki menegaskan laporan polis telah pun dibuat dan pihak pengurusan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, isu sebegini sepatutnya boleh diselesaikan secara baik tanpa perlu menjejaskan pengurusan baharu yang kini memikul tanggungjawab besar.
“Bagi saya, individu atau pihak terbabit sepatutnya tampil berbincang dengan baik. Pengurusan lama dan baharu boleh mencari jalan penyelesaian bersama tanpa perlu menjejaskan aset digital kelab.
Apa yang penting, KRW mahu fokus kepada pembangunan bola sepak Kelantan dan tidak mahu isu sampingan mengganggu misi tersebut,”
katanya.
Dalam pada itu itu, Wan Fajarul memaklumkan pihaknya telah melancarkan akaun media sosial baharu bagi memastikan penyokong tidak ketinggalan dengan maklumat terkini mengenai kelab.
Akaun rasmi itu ialah Facebook: Kelantan Red Warrior FC dan TikTok: Kelantan Red Warrior Official, yang kini mula menarik perhatian peminat dengan lebih 3,000 pengikut walaupun baru dilancarkan beberapa hari.
“Kami tidak mahu penyokong tercari-cari saluran rasmi. Semua maklumat, aktiviti dan perkembangan terkini kelab kini akan dikemaskini melalui platform baharu ini,”
ujarnya.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai prestasi pasukan ketika ini, walaupun baru melalui tiga perlawanan, pengurusan melihat peningkatan positif terutama dari segi corak permainan dan keserasian pemain.
Datuk Zaki menekankan bahawa hasil perlawanan tidak boleh dijadikan ukuran tunggal kerana fokus utama adalah membina pasukan yang konsisten dalam jangka panjang.
“Kadang-kadang kemenangan tidak menjamin prestasi yang baik, begitu juga sebaliknya. Apa yang penting ialah peningkatan yang ditunjukkan pemain dari satu perlawanan ke perlawanan lain. Saya optimis KRW berada di landasan yang betul.”
Beliau turut menyeru penyokong agar terus memberi sokongan padu kerana semangat dan dorongan daripada peminat merupakan faktor penting dalam membina kekuatan pasukan. Dengan harmoni dalam pengurusan serta usaha berterusan untuk menambah baik, KRW yakin dapat mengharungi cabaran musim ini dan kembali mengangkat nama bola sepak Kelantan di persada nasional.