Sua Yih Huan cari rekod peribadi di Malaysia Ultra-Trail
Pelari denai berpengalaman negara, Sua Yih Huan, kini bersiap sedia menggalas cabaran baharu apabila turun dalam kategori MY100 (100 kilometer) pada kejohanan Malaysia Ultra-Trail by UTMB yang akan berlangsung di Taiping, Perak, dari 26 hingga 28 September ini.
Pada usia 45 tahun, Sua mula menyertai kejohanan larian denai sejak lima tahun lalu dan pada tahun lalu beliau membuktikan kemampuan apabila menamatkan kategori 50 kilometer dengan kedudukan ketiga keseluruhan, satu pencapaian yang cukup membanggakan.
Bagi edisi kali ini, Sua mengakui cabaran 100 kilometer bakal menjadi ujian ketahanan mental dan fizikal yang berbeza.
“Persiapan saya banyak tertumpu kepada latihan harian berintensiti tinggi (HIIT). Memang cuaca di sini lebih panas berbanding tempat biasa saya berlatih, jadi saya cuba biasakan diri dengan keadaan tersebut,”
katanya.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai strateginya esok, Sua menegaskan beliau tidak mahu terburu-buru dalam perlumbaan sejauh itu.
“Saya ikut perancangan sendiri, iaitu lari secara perlahan dan konsisten. Bukan kejar laju pada awal, tapi pastikan tenaga cukup untuk tamatkan dengan baik.”
Walaupun kejohanan ini penuh dengan cabaran geografi yang mencabar termasuk laluan hutan, denai berbatu dan perubahan ketinggian, Sua tetap positif dan yakin mampu memberikan persembahan terbaik.
Malah, beliau turut menetapkan sasaran masa peribadi 13 jam untuk ditamatkan.
“Ini kali pertama saya sertai kategori 100 kilometer di Malaysia Ultra-Trail by UTMB. Bagi saya, ia pengalaman berharga untuk terus menguji kemampuan diri. Saya mahu perbaiki pencapaian lalu dan buktikan saya mampu melangkah lebih jauh.”