Kristjan Chapman sasar catatan bawah 12 jam di Malaysia Ultra-Trail
Pelari denai dari Iceland, Kristjan Chapman, hadir dengan semangat membara untuk menyahut cabaran Malaysia Ultra-Trail by UTMB yang bakal berlangsung di Taiping, Perak dari 26 hingga 28 September ini.
Kristjan akan turun beraksi dalam kategori MY100 (100 kilometer), perlumbaan sulungnya di bawah label UTMB selepas meraih kemenangan di Cultra, Cameron Highlands bulan lalu dengan catatan masa 13 jam 15 minit.
Sejak menetap di Malaysia kira-kira lapan bulan, Kristjan mengakui terdapat perbezaan ketara antara denai di sini berbanding tanah kelahirannya.
“Di Malaysia, denai lebih teknikal dan mencabar, terutama ketika turun bukit. Di Iceland pula lebih berbatu kecil, jadi perlu berhati-hati pada setiap langkah. Namun, dari segi teknikal, Malaysia jauh lebih sukar,”
katanya.
Dengan pengalaman di Cameron Highlands, Kristjan percaya kekuatan utamanya terletak pada bahagian pendakian serta laluan rata.
Berbekalkan latar belakang sebagai pelari maraton jalan raya, beliau yakin mampu memberi saingan sengit, Namun faktor cuaca panas dan kelembapan di Taiping disifatkan sebagai cabaran terbesar.
Bagi edisi kali ini, Kristjan menetapkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan masa bawah 12 jam, sekali gus berharap dapat berada dalam kelompok lima terbaik.
“Saya bersedia sebaik mungkin. Matlamat utama saya adalah lakukan yang terbaik, dan mudah-mudahan podium, serta kalau boleh kalahkan Daved Simpat.”
Dalam pada itu, bagi memastikan persiapan lebih mantap, Kristjan sempat melakukan tinjauan trek seminggu sebelum perlumbaan.
“Ada bahagian tertentu yang saya sangat nantikan kerana saya tahu saya boleh pecut di situ dan cuba cipta kelebihan.”