Bai Xing Zhi sasar kejuaraan Malaysia Ultra-Trail jadi miliknya tahun ini
Pelari denai dari China, Bai Xing Zhi, hadir ke Taiping dengan satu misi besar iaitu memburu kejuaraan dalam kategori MY100 (100 kilometer) di kejohanan Malaysia Ultra-Trail by UTMB, yang bakal berlangsung dari 26 hingga 28 September ini.
Bai bukanlah nama asing di pentas ini kerana beliau sudah dua kali berturut-turut menamatkan saingan sebagai naib juara, sekaligus membuktikan ketahanan serta konsistensinya di laluan teknikal Taiping.
Dengan juara bertahan Duo Ji tidak beraksi tahun ini, pelari berusia 30-an itu yakin peluangnya semakin cerah.
“Ini kali ketiga saya berlumba di Malaysia. Saya sudah biasa dengan laluan dan pusat pemeriksaan, jadi tahun ini saya benar-benar percaya ada peluang untuk kejuaraan,”
katanya.
Mengulas tentang saingan, Bai mengakui pelari tempatan menjadi ancaman utama.
“Pelari Malaysia sangat kuat, mereka sudah biasa dengan cuaca panas dan itu kelebihan di laman sendiri. Tetapi setiap negara ada atlet elit yang berpeluang naik podium.”
Bai tidak melihat dilabel sebagai pelari pilihan sebagai satu tekanan sebaliknya menganggapnya sebagai motivasi tambahan.
“Malaysia adalah tempat bertuah saya, dua kali bertanding di sini, dua kali naik podium. Tahun ini saya sudah bersedia, saya akan berjuang sebaik mungkin. Kalau tidak menang sekali pun, saya tetap puas hati jika beri segalanya.”
Dalam pada itu, untuk edisi kali ini, Bai menetapkan sasaran masa sekitar 11 jam selepas mencatat kira-kira 12 jam dalam dua edisi sebelumnya.
Beliau percaya perubahan laluan yang meletakkan pendakian di awal dan penamat yang lebih mudah akan membantunya mengagihkan tenaga dengan lebih baik.
Menariknya, Bai bukan atlet sepenuh masa. Beliau bekerja dalam bidang berkaitan sukan, namun tetap komited menjalani latihan.
Sementara itu, Bai turut mendedahkan Taiping kini mempunyai nilai sentimental kerana perlumbaan pertamanya di sini pada 2023 jatuh pada tarikh lahirnya, dan beliau turut menanam sebatang pokok di sebuah taman di bandar itu.
“Setiap tahun saya datang bukan hanya untuk berlumba, tetapi juga untuk melihat pokok saya.”
Berbekalkan pengalaman sebagai bekas askar peninjau, ketahanan mental dan fizikal jelas menjadi senjata utama Bai untuk melakar sejarah peribadi dengan menamatkan penantian podium teratas di Malaysia Ultra-Trail by UTMB.