Sua Yih Huan pelari denai terbaik Malaysia, tamat di tempat ke-4 Malaysia Ultra-Trail 2025

167

Pelari denai berpengalaman negara, Sua Yih Huan, mencipta sensasi apabila muncul pelari terbaik Malaysia dalam kategori MY100 (100 kilometer) di kejohanan Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2025 yang berlangsung di Taiping, Perak. 

Sua Yih Huan menamatkan perlumbaan mencabar itu di kedudukan keempat keseluruhan dengan catatan masa 14:02:59, meninggalkan rakan senegara, Daved Simpat, yang berada di tempat kelima dengan masa 14:09:10.


Pencapaian kali ini cukup manis buat beliau yang tahun lalu hanya menamatkan saingan dalam kategori MY50 (50 kilometer) di kedudukan kelapan. 

Lompatan prestasi yang ditunjukkan jelas membuktikan peningkatan besar dalam ketahanan dan strategi lariannya.

Mengulas kejayaan itu, Sua mengakui saingan kali ini cukup sengit dengan kehadiran pelari antarabangsa yang berlari laju sejak dari awal.

“Saya turun dari checkpoint Angkasa di kedudukan keempat, tetapi ada tiga pelari yang berjaya memintas saya. Mujur saya terus kekalkan rentak dan tidak berputus asa,”

katanya.

Selain checkpoint Angkasa, beliau turut menyifatkan cabaran terbesar hadir di checkpoint 3 dan 4 termasuk laluan terowong KTM, di mana kedudukannya pernah jatuh sehingga ke tangga kesembilan. 

Namun, berbekalkan semangat juang tinggi, Sua bangkit menamatkan perlumbaan sebagai pelari Malaysia terbaik.

Antara detik penting perlumbaan adalah ketika beliau berjaya memintas Daved Simpat yang ketika itu mengalami kekejangan otot.

“Saya manfaatkan peluang itu untuk potong dan kekalkan kedudukan hingga ke garisan penamat.”

Dalam pada itu, walaupun tidak berjaya mencapai catatan masa sasaran peribadi, beliau tetap berpuas hati dengan pencapaiannya.

“Saya sangat gembira. Saingan memang kuat dan cuaca pun cukup panas, tapi berjaya tamat di tempat keempat sudah cukup bermakna.”

Sementara itu, dengan prestasi cemerlang kali ini, Sua membuktikan bahawa beliau kini antara pelari denai terbaik negara ketika ini dan mampu bersaing di pentas antarabangsa.