Rejlen James: Dari surirumah ke pelari denai terbaik Malaysia
Nama Rejlen James mungkin tidak sepopular atlet profesional lain, namun pencapaiannya di Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2025 membuktikan bahawa semangat dan disiplin mampu mengatasi segala cabaran.
Rejlen yang juga merupakan seorang surirumah mencipta kejutan apabila muncul sebagai pelari denai terbaik Malaysia dalam kategori MY100 (100 kilometer) selepas menamatkan saingan di kedudukan kelima keseluruhan dengan catatan masa 18 jam 40 minit 40 saat.
Lebih menarik, perjalanan getir Rejlen turut dihiasi detik dramatik apabila beliau tersesat sejauh hampir 4.3 kilometer dari laluan asal.
Situasi itu membuatkan jam tangannya merekodkan jarak sejauh 101 kilometer, berbeza dengan laluan rasmi perlumbaan.
“Sebenarnya saya sesat. Jadi masa yang saya sasarkan, iaitu bawah 17 jam, memang tak tercapai. Tapi bila sedar sudah jauh, saya tukar plan. Yang penting habiskan perlumbaan. Walaupun 18 jam lebih, saya tetap bersyukur dan gembira kerana berjaya tamat dengan strong finish,”
katanya.
Menurut Rejlen, walaupun emosinya terganggu dek sesat tapi beliau tetap cekal meneruskan larian sehingga ke garisan penamat.
Selain sesat, beliau juga berkata faktor cuaca panas terik juga menjadi salah satu cabaran utama buat dirinya.
Dalam pada itu, kedudukan kelimat keseluruhan itu sekaligus mengangkat Rejlen sebagai pelari terbaik Malaysia dalam kategori paling mencabar kejohanan tersebut, meninggalkan ramai pelari tempatan lain di belakang.
“Ya terkejut juga (dapat kedudukan kelima) kerana saingan cukup sengit ditambah saya sesat lagi. Jadi saya cukup gembira dapat nombor kelima.”
Dengan prestasi cemerlang ini, Rejlen tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke Taiping tahun hadapan dengan sasaran yang lebih tinggi.
Sementara itu, kejayaan Rejlen menjadi inspirasi bahawa status surirumah bukan penghalang untuk bergelar atlet denai terbaik negara, sekali gus membuktikan bahawa semangat dan ketabahan mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan.