Rifdean Masdor gegarkan Kuantan, tewaskan petarung Thailand di UXR Showdown
Malam penuh gemilang tercipta di Stadium SUKPA apabila petarung profesional negara, Rifdean Masdor, menunaikan impian ribuan peminat tanah air dengan menewaskan lawannya dari Thailand, Kongphob, menerusi keputusan sebulat suara (Unanimous Decision).
Kemenangan itu bukan sahaja menjadi sejarah manis buat Rifdean, malah ia hadir dalam pentas berprestij UXR Showdown: Chapter 1, acara sulung yang berjaya menghimpunkan peminat seni bela diri campuran (MMA) dari seluruh negara.
“Syukur, kemenangan ini untuk Malaysia. Alhamdulillah, saya dah buat yang terbaik untuk semua peminat Malaysia. Terima kasih kerana sanggup datang jauh-jauh ke Kuantan untuk menyokong saya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Mengulas lanjut mengenai pertarungan itu, Rifdean mengakui lawannya mempunyai kelebihan fizikal yang nyata.
“Kongphob lebih berat enam kilogram daripada saya. Itu bukan alasan, tapi ia memang jadi cabaran besar. Promoter pun tanya sama ada nak teruskan atau tidak, tapi saya nekad. Kita dah sampai sini, takkan nak undur.”
Walaupun banyak laungan penonton mahukan KO, Rifdean mengakui tidak mudah menamatkan perlawanan dengan cara itu.
“KO tu tak boleh dicari, ia datang sendiri. Hampir-hampir tadi, tapi dia memang kuat. Dengan berat badan dan ‘chin’ yang keras, memang susah nak jatuhkan.”
Dalam pada itu, Rifdean berkata pengalaman beraksi di gelanggang tanah air buat pertama kali menjadi satu kebanggaan tersendiri.
“UXR Showdown ni bukan calang-calang. Saya rasa kualiti acaranya boleh disamakan dengan ONE Championship. Kelas A+, penuh dengan standard antarabangsa. Saya harap acara macam ni diteruskan, supaya lebih ramai bakat muda dalam sukan kombat dapat peluang bersinar.”
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada CEO UXR, Sabri, yang disifatkan memberi sokongan terbaik kepada atlet tempatan.
Sementara itu, Rifdean menyifatkan kejayaan ini sebagai detik yang akan terpahat dalam lipatan sejarah kariernya.
“Mungkin ini kali pertama dan terakhir saya beraksi di Malaysia, jadi kemenangan ini sangat bermakna. Kalau ada peluang lagi, saya mahu. Tapi semua bergantung pada kontrak saya di ONE Championship nanti.”
Rifdean turut memberi bayangan bakal kembali beraksi di pentas ONE seawal bulan November, dan tidak menolak kemungkinan kembali ke Malaysia sekiranya ONE Championship menganjurkan acara di Kuala Lumpur pada Disember.