Ekitike sambut baik kehadiran Isak, fokus tingkatkan prestasi di Liverpool

81

Penyerang Liverpool, Hugo Ekitike, menyifatkan ketibaan Alexander Isak di Anfield sebagai peluang besar untuk dirinya berkembang. 

Dipetik dari BBC, pemain berusia 23 tahun itu dibawa masuk dengan nilai £69 juta pada musim panas lalu dan sudah menjaringkan lima gol dalam 10 penampilan awal. 


Namun, Liverpool kemudiannya melengkapkan perpindahan rekod Britain dengan membawa Isak pada hari terakhir jendela perpindahan dengan nilai £125 juta.

Menurut Ekitike, kehadiran penyerang baharu itu bukan satu ancaman, sebaliknya membantu meningkatkan daya saing dalam pasukan. “Saya rasa bagus bila ada ramai penyerang di kelab besar. Pada usia saya sekarang, masih banyak yang boleh dipelajari dan ditingkatkan,” katanya.

Ekitike turut menegaskan sama ada beliau dan Isak diturunkan bersama atau tidak, semuanya bergantung kepada taktikal pengurus, Arne Slot. 

Menariknya, kedua-dua penyerang itu menjaringkan gol ketika menentang Southampton dalam saingan Piala Carabao minggu lalu.

Bagaimanapun, Ekitike sedikit dikecewakan kerana dilayangkan kad merah akibat meraikan jaringan secara berlebihan. 

Beliau mengakui kesilapan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Kini, fokus utamanya hanya satu – membantu Liverpool terus cemerlang di semua pentas.