Alisson sah terlepas aksi menentang Chelsea
Liverpool menerima tamparan hebat menjelang pertemuan menentang Chelsea pada Sabtu apabila pengurus, Arne Slot, mengesahkan penjaga gol utama mereka, Alisson Becker, tidak akan beraksi akibat kecederaan.
Dipetik dari BBC, insiden itu berlaku ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Galatasaray di Istanbul yang menyaksikan Liverpool tewas 1-0. Alisson terpaksa dikeluarkan pada minit ke-56 selepas berjaya menafikan percubaan Victor Osimhen tetapi mengalami kecederaan ketika berlari semula.
Slot mengakui situasi itu jelas membimbangkan.
“Kalau pemain saya terbaring, sembilan daripada 10 kali ia petanda buruk. Yang pasti, dia tidak akan bermain Sabtu ini,” katanya.
Ketiadaan Alisson membuka ruang buat penjaga gol baharu, Giorgi Mamardashvili, untuk melakukan penampilan sulung di Premier League.
Pemain Georgia itu dibeli dari Valencia dengan harga £29 juta pada musim panas lalu.
Turut menambah kerisauan ialah penyerang muda Hugo Ekitike, yang turut terhincut keluar selepas merasakan ketidakselesaan otot. Statusnya untuk aksi menentang Chelsea masih menjadi tanda tanya.
Kecederaan ini sekali gus menguji ketahanan skuad Slot ketika jadual padat menanti.