Skuad Harimau Malaya belum umum, peminat gelisah menjelang aksi penting di Laos
Menjelang perlawanan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 Oktober ini, skuad Harimau Malaya masih belum mengumumkan senarai pemain yang akan dipanggil ke kem latihan pusat.
Kelewatan ini menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air, apatah lagi pasukan lain sudah lebih awal menamakan pemain mereka.
Antara punca kelewatan itu dipercayai berkait dengan kontroversi hangat melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas FIFA mengenakan sanksi terhadap tujuh pemain warisan baharu yang didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung isu dokumen.
Situasi ini memaksa ketua jurulatih, Peter Cklamovski, melakukan rombakan taktikal besar di saat akhir.
Malaysia kini berada di puncak Kumpulan F hasil kemenangan bergaya menewaskan Nepal dan Vietnam. Namun, cabaran di Vientiane bukan boleh dipandang ringan kerana Laos semakin meningkat prestasi dan sering menjadikan aksi menentang Malaysia sebagai pentas untuk menguji kemampuan mereka.
Dalam dua pertemuan terakhir, Malaysia semenangnya berjaya menewaskan Laos tetapi pasukan itu kini turut berubah dan bermain di Vientiane akan menambah kesukaran buat skuad negara.
Sementara itu, ketiadaan tujuh pemain warisan membuka semula peluang kepada bintang tempatan seperti Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Matthew Davies untuk kembali membarisi skuad.
Pada masa sama, bakat muda seperti Azam Azmi, Aliff Haiqal dan Fergus Tierney juga berpotensi diberi kepercayaan.
Persoalan kini, adakah Cklamovski akan mengekalkan tonggak berpengalaman atau memberi ruang kepada muka baharu demi kesinambungan pasukan?
Dengan masa yang semakin suntuk, peminat Harimau Malaya hanya mampu menunggu pengumuman rasmi sambil berharap skuad negara mampu menepis kontroversi dan terus mengaum di pentas Asia.