Grealish jadi wira, Everton tamatkan rekod tanpa kalah Crystal Palace

42

Everton mencipta kejutan apabila bangkit menewaskan Crystal Palace 2-1 hasil gol dramatik Jack Grealish pada minit ke-93, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah 19 perlawanan milik pasukan lawan.

Dipetik dari BBC, Palace, yang sedang berada dalam prestasi terbaik, terlebih dahulu di depan menerusi jaringan Daniel Munoz pada minit ke-37 selepas menerima hantaran cantik daripada Ismaila Sarr. 


Gol itu seakan membuka jalan untuk mereka mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Premier League. 

Malah, Tyrick Mitchell turut hampir menambah jaringan apabila rembatan derasnya sekadar singgah di tiang.

Everton yang agak bergelut di babak pertama mula menemui rentak selepas babak kedua bermula dengan memasukkan pemain muda Tyler Dibling dan Thierno Barry. 

Hasilnya, mereka menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi sepakan penalti Iliman Ndiaye selepas Maxence Lacroix menjatuhkan Tim Iroegbunam.

Ketika perlawanan dijangka berakhir seri, Grealish yang dipinjamkan dari Manchester City telah menjaringkan gol kemenangan selepas cubaan tandukan Beto ditepis Dean Henderson.

Kekalahan ini merupakan yang pertama buat Palace sejak April lalu, sekali gus menutup rekod hebat tanpa kalah mereka.