Bintang Sepanyol, Jordi Alba umum persaraan hujung musim ini

76

Bintang pertahanan Sepanyol, Jordi Alba, mengumumkan bahawa beliau akan menamatkan karier bola sepak profesionalnya sebaik sahaja musim Major League Soccer (MLS) berakhir tahun ini. 

Dipetik dari BBC, pemain berusia 36 tahun itu kini mewakili Inter Miami, pasukan yang turut dibarisi bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Lionel Messi, Sergio Busquets dan Luis Suarez.


Sepanjang kariernya, Alba dikenang sebagai antara bek kiri terbaik dunia, dengan pencapaian gemilang termasuk menjuarai Euro 2012 bersama Sepanyol serta UEFA Champions League bersama Barcelona. Inter Miami, yang kini layak ke pusingan play-off MLS, dijangka menutup musim pada awal Disember, tarikh yang bakal menjadi penamat perjalanan luar biasa pemain ini.

“Masa telah tiba untuk menutup satu bab yang sangat bermakna dalam hidup saya,” ujar Alba dalam satu video di Instagram. 

“Saya mengakhiri karier ini dengan penuh keyakinan, ketenangan dan kegembiraan.”

Alba sebelum ini telah bersara daripada bola sepak antarabangsa pada tahun 2023 selepas 93 penampilan bersama La Roja.