Isu itu di luar kawalan kami, fokus hanya perlawanan esok – Cklamovski
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan bahawa tumpuan pasukannya tidak akan terganggu dengan kontroversi yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas pendedahan terbaharu oleh FIFA.
Cklamovski berkata demikian ketika sidang media menjelang perlawanan ketiga Kumpulan F menentang Laos di Vientiane esok di mana beliau tidak mahu isu luar padang menjejaskan fokus skuad kebangsaan yang kini sedang dalam misi penting mencari tiga mata penuh.
“Itu perkara di luar kawalan kami sepenuhnya. Kami tidak menumpukan perhatian kepada perkara di luar kem. Saya faham ada banyak perkara dibincangkan ketika ini, tetapi ia bukan dalam kawalan kami dan tiada kaitan dengan pasukan,”
katanya.
Tambahnya lagi, pasukan ketika ini hanya fokus pada persiapan menghadapi Laos yang dianggap sebagai lawan yang sukar pada masa sama mahu kekalkan momentum positif dalam kempen kelayakan.
“Jika kami memikirkan hal lain selain prestasi di padang, kami tidak menghormati perlawanan ini. Mentaliti kami sangat kuat — kami akan bekerja keras antara satu sama lain, bermain bola sepak dengan identiti kami, dan terus membina apa yang kami usahakan sebagai pasukan kebangsaan.”
Dalam pada itu, Cklamovski turut menekankan komitmennya untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia melalui persembahan pasukan, dengan harapan semangat juang mereka dapat menghadirkan keyakinan dan kebanggaan buat penyokong Harimau Malaya.
“Kami mahu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia melalui cara kami bermain, memberikan harapan dan keyakinan bahawa kami mampu melakukan sesuatu yang istimewa.”
Sementara itu, perlawanan menentang Laos esok cukup penting kerana skuad negara perlu keputusan yang positif untuk memastikan peluang mereka layak ke pusingan akhir dapat direalisasikan.
Malaysia kini berada di puncak Kumpulan F selepas dua perlawanan dengan mengutip enam mata maksimum.