Cole Palmer daftar trademark untuk keraian gol ‘Cold Palmer’
Bintang Chelsea, Cole Palmer kini bukan sekadar mencuri tumpuan di atas padang, malah semakin bijak membina jenama dirinya di luar padang.
Pemain England itu baru-baru ini dilaporkan telah berjaya mendaftarkan tanda dagangan rasmi (trademark) untuk nama samaran dan keraian golnya yang terkenal — ‘Cold Palmer’.
Gaya keraian gol yang simbolik dengannya itu, gaya menggigil sambil memeluk diri selepas menjaringkan gol — kini sudah menjadi simbol ikonik di kalangan peminat Chelsea dan peminat bola sepak seluruh dunia.
Gerakan itu melambangkan ketenangan dan keyakinan Palmer ketika beraksi dan menjaringkan gol.
Kini, simbol tersebut secara rasmi dilindungi undang-undang selepas permohonannya diluluskan oleh pejabat hak cipta United Kingdom.
Menurut laporan media, tanda niaga ‘Cold Palmer’ meliputi pelbagai kategori termasuk pakaian, aksesori telefon, barangan hadiah, dan permainan kanak-kanak.
Namun begitu, ada sedikit halangan apabila bahagian berkaitan produk wain dan minuman beralkohol terpaksa dikecualikan selepas mendapat bantahan daripada sebuah syarikat wain terkenal Perancis, Château Palmer, yang mendakwa nama mereka terlalu mirip.
Dengan jenama ‘Cold Palmer’ kini rasmi miliknya, Cole Palmer bukan sahaja sedang membina nama sebagai salah seorang bakat paling menyerlah dalam bola sepak Inggeris, tetapi juga sebagai ikon budaya pop bola sepak moden.