England tiada peluang di Piala Dunia jika tidak bersatu sebagai pasukan – Tuchel
Ketua jurulatih England, Thomas Tuchel, menegaskan skuad The Three Lions akan beraksi sebagai pasukan bukan pilihan (underdogs) di Piala Dunia 2026 dan tiada peluang untuk berjaya sekiranya mereka gagal bersatu sebagai satu pasukan.
Dipetik dari BBC, menurut Tuchel, England masih belum membuktikan kemampuan di pentas dunia walaupun berjaya mara ke dua final Kejuaraan Eropah berturut-turut, kerana kali terakhir mereka menjulang trofi Piala Dunia ialah pada tahun 1966.
England dijangka mengesahkan tempat ke edisi 2026 di Amerika Utara sekiranya menewaskan Latvia dalam aksi kelayakan minggu depan.
“Kami akan tiba sebagai pasukan bukan pilihan kerana kami belum memenanginya selama puluhan tahun. Kami perlu bersatu sebagai pasukan, jika tidak kami tiada peluang,” katanya.
Tuchel yang dilantik pada Januari lalu telah memenangi lima daripada enam perlawanan, dengan satu kekalahan dalam aksi persahabatan menentang Senegal.
Beliau menegaskan keutamaan ketika ini ialah membentuk pasukan yang memiliki semangat berpasukan kukuh dan keserasian di padang.
“Dalam bola sepak antarabangsa, sama ada anda sebuah pasukan atau tidak — itulah faktor penentu kejayaan,” tambahnya.
England bakal berdepan Wales dalam aksi persahabatan sebelum menentang Latvia pada 14 Oktober.