Ridzwan Bakri mahu bantu Pahang Rangers jadi juara

516

Tonggak Pahang Rangers kelahiran Sabah, Ridzwan Bakri mahu memastikan skuad Pahang Rangers meraih kejuaraan liga Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2022.

Pertemuan top of the table clash menentang pasukan Selangor MAC dijangka menjadi penentu nasib buat pasukan kendalian Gerard Casas yang kini dipisahkan dengan hanya satu mata biarpun lawan mereka itu mempunyai kelebihan satu perlawanan.


“Kami pun tiada fikir mana-mana team, kami langgar sahaja. Kalau ada rezeki juara Alhamdulillah, tapi kalau tidak berjaya, nombor dua pun masih ada rezeki”

katanya kepada Harimau Malaya

Beliau menjelaskan bahawa sasaran utama Pahang Rangers adalah untuk menjadi juara dan menempatkan diri dalam kalangan lapan pasukan terbaik bagi melayakkan diri ke pusingan kalah mati. Motivasi pemain-pemain Pahang Rangers juga berada dalam tahap terbaik untuk cuba mencipta kejutan menjelang aksi sirkit kelapan pada hujung minggu ini.

“Motivasi pemain memang berada pada tahap yang tertinggi. Sebelum-sebelum ni pun, kami memang nak pastikan team betul-betul serasi sebelum turun beraksi menentang pasukan lawan”

katanya kepada Harimau Malaya

Sementara itu, bercakap mengenai kehadiran jurulatih import, Gerard Casas dan juga penjaga gol import Victor Espindola, beliau memberitahu bahawa kehadiran dua individu ini amat membantu daripada segi taktikal dan corak permainan terutamanya untuk pemain-pemain tempatan.

“Dalam team Pahang, coach banyak mempelbagaikan set-piece dan taktikal. Amat berbeza daripada coach tempatan. Selain itu, goalkeeper juga banyak membantu pasukan kerana dia ada pengalaman luas bermain di luar”

katanya kepada Harimau Malaya

Mengulas mengenai penganjuran kejohanan liga yang diadakan secara sirkit berbanding format home & away pada edisi 2019, beliau menjelaskan bahawa ianya sedikit memberikan kepenatan kepada pemain-pemain yang terpaksa berulang-alik setiap minggu daripada pusat latihan ke venue perlawanan.

Dan kejohanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam ini dilihat seakan memberikan kelebihan kepada pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang, beliau berpendapat sebaliknya.

“Kalau saya tengok macam sama sahaja, tapi lagi best main home & away. Tapi disebabkan Covid-19 ni, kita terpaksa ikut undang-undang lah.”

“Memang penat lah. Macam semalam habis game sahaja, terus gerak balik. Kalau Jumaat game, petang Khamis selepas training, terus gerak ke KL.”

katanya kepada Harimau Malaya