Tanpa TMJ, bola sepak Malaysia sudah lama terkubur – Cklamovski

1,302

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menzahirkan rasa bangga terhadap barisan pemainnya selepas Malaysia mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Laos dalam aksi ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 malam tadi. 

Menurut Cklamovski, kemenangan itu bukan sekadar tiga mata penting, tetapi juga simbol perjuangan dan harapan untuk seluruh rakyat Malaysia.


“Perlawanan malam ini adalah untuk rakyat Malaysia. Kami mahu memberikan harapan dan inspirasi kepada rakyat menerusi cara kami bermain. Saya sangat berbangga dengan para pemain kerana mereka menunjukkan semangat, komitmen dan disiplin yang luar biasa,” 

katanya.

Cklamovski turut meluahkan penghargaan kepada Ultras Malaya dan penyokong yang sanggup datang dari jauh untuk memberi sokongan padu.

“Mereka benar-benar membantu kami. Mereka melihat sendiri semangat pemain yang berjuang demi negara, dan saya percaya jutaan rakyat di tanah air turut merasainya.”

Cklamovski turut mengakui keadaan padang yang tidak ideal namun memuji anak buahnya yang berjaya menyesuaikan diri dengan baik, mengawal permainan dan mencipta banyak peluang jaringan. 

Beliau juga tidak lupa memberikan penghargaan kepada pasukan Laos atas semangat juang mereka.

“Ya, ia satu perlawanan yang sukar. Namun, pemain kami kekal sabar, berdisiplin dan berpegang kepada prinsip permainan. Akhirnya, usaha keras itu terbayar dengan kemenangan dan persembahan pasukan yang luar biasa.”

Dalam pada itu, Cklamovski menegaskan bahawa kejayaan pasukan kebangsaan tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan besar Pemangku Sultan Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menjadi tulang belakang kepada segala fasiliti dan persiapan profesional skuad Harimau Malaya.

“Siapa yang mendapatkan dana daripada Perdana Menteri untuk menyokong pasukan kebangsaan? Itu TMJ, bukan FAM.

Siapa yang menaikkan standard pasukan, menyediakan penerbangan carter untuk kami tiba di sini dan pulang secara profesional? Semua itu hasil usaha dan visi baginda. Tanpa TMJ, bola sepak Malaysia sudah lama berakhir.”

Sementara itu, kemenangan semalam membuktikan bahawa di sebalik pelbagai cabaran luar padang, semangat juang Harimau Malaya tidak pernah luntur, malah terus menyala dengan sokongan padu penyokong.