Insentif cukai baharu akan jadi pemangkin utama dalam memperkasa industri sukan negara – Hannah Yeoh
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menegaskan bahawa pelaksanaan insentif cukai baharu akan menjadi pemangkin utama dalam memperkasa industri sukan negara, selain mendorong rakyat Malaysia menjadikan aktiviti sukan sebagai gaya hidup.
Hannah juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak kerajaan dan swasta yang bersama menjayakan sambutan Hari Sukan Negara (HSN).
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak kerajaan dan swasta yang telah menjayakan Hari Sukan Negara. Dan sambutan Hari Sukan Negara ini, Sabtu dan Ahad, kita lihat pelbagai aktiviti sedang berjalan seluruh Malaysia.
Yang saya nak bukan saja ad-hoc tetapi ini jadi gaya hidup kerana kerajaan sudah menyediakan insentif cukai untuk mendorong rakyat Malaysia bersukan. Khasnya dalam kategori latihan sukan, peralatan sukan, fee untuk masuk pertandingan, semua ini akan mula mendorong aktiviti sukan berjalan dan industri sukan akan berkembang,”
katanya yang ditemui selepas tamat acara Lazada Run di Cyberjaya.
Dalam pada itu, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Hannah berkata syarikat aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan peserta asing diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun.
Namun, beliau mengingatkan mana-mana pihak yang mahu menganjurkan kejohanan antarabangsa agar mendapat kelulusan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi menjaga imej negara.
“Kepada yang mahu menganjurkan pertandingan ataupun kejuaraan sukan antarabangsa, yang itu perlu dapatkan kelulusan menteri dari KBS. Jadi kita tak mahu syarikat ataupun persatuan sukan menganjurkan kejuaraan antarabangsa tanpa kebenaran negara kerana ini boleh menjejaskan imej negara.
Kalau syarat-syarat penganjuran tidak mencukupi, saya bagi contoh tak ada insurans, tak ada permit daripada PBT, yang ini semua akan menjejaskan imej negara. Jadi kita minta mereka memohon.”
Sementara itu, Hannah juga menggalakkan sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan (KWASAN), di mana syarikat yang menyalurkan dana ke tabung berkenaan akan menikmati 100% pengecualian cukai pendapatan.
“Tabung KWASAN adalah tabung amanah yang kita gunakan untuk pemohonan-pemohonan sukan oleh atlet-atlet yang mahu keluar negara ataupun mahu dana tambahan untuk latihan mereka.
Semua ini kita dah wujudkan tabung kawasan dan kita dah umumkan untuk syarikat-syarikat swasta kalau mereka nak bagi dalam tabung KWASAN ini 100% pengecualian cukai pendapatan untuk syarikat.”
Beliau turut menyeru semua persatuan sukan agar lebih proaktif dalam mengumpul dan melaporkan data penganjuran bagi memastikan setiap pelaburan sukan dapat menunjukkan pulangan positif kepada negara.