Mohon maaf jika saya dianggap kurang ajar, cuma mahu tekankan pengaruh besar TMJ terhadap bola sepak Malaysia – Cklamovski
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan bahawa fokus pasukannya kini sepenuhnya tertumpu kepada perlawanan menentang Laos dalam aksi keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Fokus kami sekarang hanyalah pada Laos. Persiapan berjalan baik, dan kami mahu beraksi dengan satu lagi persembahan berpasukan yang mantap untuk membuat rakyat Malaysia bangga,”
ujarnya.
Menurut Cklamovski, pasukan tidak terjejas dengan isu luar termasuk kontroversi berkaitan tujuh pemain warisan yang menjadi perbincangan hangat selepas keputusan FIFA baru-baru ini.
“Kami tidak fokus kepada perkara luar padang. Ada banyak bunyi di luar sana, tetapi ia tiada kaitan dengan kami. Kami teruskan kerja kami, berlatih, membina pasukan, dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.”
Cklamovski pada masa sama turut menjelaskan mengenai isu kenyataannya yang dianggap sesetengah pihak sebagai tidak menghormati FAM.
“Saya tidak berniat untuk tidak menghormati FAM. Saya hanya mengulas berdasarkan kenyataan rasmi mereka sendiri. Jika ada yang rasa saya kurang ajar terhadap FAM, saya mohon maaf. Tapi itu bukan niat saya.
Saya cuma mahu tekankan betapa besarnya pengaruh TMJ terhadap bola sepak Malaysia. Lihatlah pada fasiliti, struktur, dan tahap profesionalisme pasukan, semua itu hasil usaha beliau. Tanpa TMJ, di mana bola sepak Malaysia sekarang? Itu maksud sebenar saya.”
Dalam pada itu, menyentuh mengenai keadaan semasa pasukan, Cklamovski mengesahkan semua pemain berada dalam keadaan baik menjelang pertembungan dengan Laos, termasuk beberapa pemain yang sebelum ini mengalami sedikit kecederaan ringan.
Pada masa sama, beliau turut memberi penekanan kepada aspek penyudah, selepas beberapa peluang keemasan gagal disempurnakan ketika aksi pertama menentang Laos.
“Ya, kami sedar kami boleh jaringkan lebih banyak gol. Tapi yang penting, kami mencipta peluang. Sekarang fokus kami adalah menajamkan penyudah dan mengeksekusi peluang dengan lebih baik.”
Sementara itu, Cklamovski menyeru penyokong untuk kembali membanjiri stadium dan memberi semangat kepada pemain.
“Ini pasukan negara anda. Saya bukan di sini untuk diri saya, tapi untuk Malaysia. Kalau orang tak suka saya, tak apa. Tapi percayalah kepada pemain. Mereka sedang cuba melakukan sesuatu yang istimewa untuk Malaysia.”