Laos sedia bangkit hadapi Malaysia, Hyeokjun mahu anak buah tampil lebih matang
Ketua jurulatih Laos, Ha Hyeokjun, menegaskan pasukannya kini lebih bersedia untuk menghadapi Malaysia dalam aksi keempat Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) esok.
Walaupun tewas 0-3 kepada Harimau Malaya pada pertemuan pertama, Hyeokjun percaya skuad kendaliannya telah banyak belajar daripada kekalahan tersebut dan kini tampil dengan semangat baharu serta keyakinan lebih tinggi.
“Banyak perkara yang kami pelajari daripada perlawanan itu. Malaysia jelas pasukan yang lebih baik ketika itu, namun kami kini lebih bersedia dan mahu menampilkan aksi yang lebih baik esok,”
katanya.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu turut mengucapkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas layanan mesra dan kemudahan latihan yang disediakan kepada skuad Laos sejak tiba di Kuala Lumpur.
“Latihan kami berjalan dengan lancar dan padang latihan yang disediakan sangat baik. Kami telah menggunakan masa yang ada untuk memperbaiki kelemahan dan memperkukuh struktur pasukan.”
Dalam pada itu, Hyeokjun menjelaskan cabaran utama yang dihadapi oleh pasukan-pasukan seperti Laos, Brunei dan Timor-Leste ialah kekangan masa untuk menjalani latihan intensif menjelang perlawanan antarabangsa.
Menurutnya, berbeza dengan negara seperti Malaysia dan Indonesia yang mempunyai liga profesional lebih maju, pasukan Laos memerlukan masa lebih panjang untuk mencapai keserasian taktikal.
“Pasukan seperti Malaysia tidak perlukan banyak masa kerana pemain mereka sudah biasa bermain dalam liga kompetitif. Tetapi bagi kami, jika diberi satu atau dua minggu tambahan, mungkin keputusan menentang Malaysia sebelum ini boleh jadi berbeza.”
Walaupun mengakui liga Laos masih belum mencapai tahap liga utama Asia Tenggara, Hyeokjun tetap optimis dengan potensi pemain muda negara itu.
“Kami mempunyai bakat seperti Bounphachan Bounkong, dan akar umbi kami semakin berkembang. Cuma kami perlu lebih sistematik dalam membina pemain-pemain muda untuk masa depan.”
Hyeokjun turut mengulas isu penggantungan tujuh pemain Malaysia oleh FIFA, Hyeokjun menyifatkan situasi itu sebagai “pedang bermata dua” yang perlu diurus dengan bijak oleh setiap negara.
“Saya faham sistem naturalisasi boleh beri kelebihan jangka pendek, tapi ia juga ada risikonya. Negara seperti Jepun dan Korea tidak gunakan kaedah ini atas sebab tertentu.”
Namun, beliau menegaskan isu itu sama sekali tidak akan mempengaruhi tumpuan Laos terhadap perlawanan esok.
Sementara itu, Hyeokjun mengesahkan semua pemain berada dalam keadaan terbaik dari segi fizikal dan mental menjelang pertemuan getir itu.
“Kami akan berikan segalanya di atas padang. Harapan kami adalah untuk menunjukkan peningkatan dan membawa pulang sesuatu yang positif buat Laos.”