Shaiful Nizam puji semangat pemain muda bangkit lawan Kelantan WTS FC

81

Selangor FC II terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga A1 selepas mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Kelantan WTS FC di Stadium MBPJ petang tadi.

Lebih manis, kemenangan ini hadir walaupun skuad bimbingan Shaiful Nizam tampil tanpa beberapa tonggak utama yang terlibat bersama skuad negeri di perlawanan persahabatan antarabangsa peringkat SUK.


Menurut Shaiful, beliau amat berpuas hati dengan komitmen dan semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pemain muda yang diturunkan.

“Pertama sekali, saya ucap syukur kepada Allah SWT dan terima kasih kepada semua pemain yang berusaha keras untuk bangkit di separuh masa kedua.

Hari ini kita kehilangan lima hingga enam pemain utama, jadi kebanyakan yang diturunkan adalah pemain dari skuad Presiden. Tapi Alhamdulillah, mereka membuktikan kemampuan dan menunjukkan bahawa mereka mampu menggalas tanggungjawab ini,”

katanya.

Jurulatih itu turut mengesahkan bahawa beberapa pemain muda berpotensi bakal diserapkan ke dalam skuad bawah 23 tahun selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan.

Dalam pada itu, Shaiful turut menegaskan bahawa walaupun fokus utama Selangor FC II adalah pembangunan pemain, pasukan tetap mengekalkan mentaliti kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Kami memang dalam proses pembangunan (development), tapi itu tidak bermakna kami abaikan mentaliti menang. Pasukan yang baik mesti ada semangat untuk menang.

Pemain-pemain muda ini perlu belajar bermain dengan disiplin dan semangat tinggi walaupun berdepan lawan yang lebih berpengalaman dan ada pemain import.”

Tambahnya lagi, kemenangan ini membuktikan Selangor FC II berada di landasan tepat, dengan kebanyakan pemain telah bersama pasukan selama dua hingga tiga tahun dan kini semakin matang di atas padang.

Pada masa sama beliau memuji kematangan anak buahnya yang berjaya bangkit selepas sedikit bergelut pada awal permainan.

Sementara itu, kemenangan ini mengekalkan Selangor FC II di puncak carta Liga A1 selepas lapan perlawanan.