Saya masih belum berpuas hati dengan prestasi sendiri – Aqil Hilman
Penyerang muda Kelantan WTS FC, Aqil Hilman, mengakui masih belum berpuas hati dengan prestasinya walaupun menunjukkan aksi bersemangat dalam perlawanan menentang Selangor FC II yang berkesudahan tewas 3-1 di Stadium MBPJ petang tadi.
Menurut Aqil, mereka bermula baik apabila berjaya memberi tentangan sengit di separuh masa pertama, namun beberapa kesilapan di bahagian tengah dan pertahanan membuka ruang kepada pasukan tuan rumah untuk menghukum mereka di babak kedua.
“Alhamdulillah, perlawanan sudah tamat. Kita akan bangkit semula nanti. Hari ini memang kurang bernasib baik,”
katanya.
Aqil berkata kekalahan ini menjadi pengajaran berharga untuk pasukan memperbaiki kelemahan menjelang aksi seterusnya.
“Insya-Allah, kita akan cuba perbaiki segala kekurangan yang ada. Ada beberapa kesilapan di bahagian tengah, mungkin juga pertahanan kurang kemas, dan itu yang menyebabkan kita dihukum pihak lawan.”
Dalam pada itu, walaupun Aqil kini berada dalam kelompok tiga teratas penjaring Liga A1 ketika ini, beliau tetap merendah diri dan menegaskan bahawa masih banyak ruang untuk diperbaiki, khususnya dari segi penyudah.
“Insya-Allah, kalau ada rezeki (jadi penjaring terbanyak). Tapi buat masa ini, saya masih belum berpuas hati dengan prestasi sendiri. Saya perlu perbaiki penyudah dan cari lebih banyak peluang di depan gol.”
Baginya, fokus utama kini adalah membantu pasukan bangkit dalam baki saingan musim ini, selain terus memperkukuh prestasi peribadi agar dapat menyumbang lebih banyak buat Kelantan WTS FC dalam perlawanan akan datang.