Impian Wales layak ke Piala Dunia hampir terkubur selepas tewas kepada Belgium
Harapan Wales untuk mara secara automatik ke Piala Dunia kini hampir tertutup selepas tunduk 4-2 kepada Belgium di laman sendiri.
Dipetik dari BBC, skuad kendalian Craig Bellamy bermula cemerlang apabila Joe Rodon menanduk masuk gol pembukaan seawal minit ketujuh, namun momentum itu tidak bertahan lama.
Belgium menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Kevin De Bruyne selepas semakan VAR mendapati Ethan Ampadu melakukan handball.
Pasukan pelawat kemudian mengambil alih kawalan perlawanan sepenuhnya, dengan Jeremy Doku menjadi duri dalam daging pertahanan Wales apabila membantu Thomas Meunier menjaringkan gol kedua.
De Bruyne menambah jaringan keduanya juga melalui penalti selepas Jordan James melakukan handball, sebelum Leandro Trossard menutup malam gemilang Belgium dengan gol keempat.
Nathan Broadhead sempat membalas untuk Wales, namun kebangkitan itu tidak kesampaian.
Kekalahan ini menyaksikan Belgium mendahului Kumpulan J, empat mata di depan Wales.
Dengan dua perlawanan berbaki, peluang Wales untuk layak automatik hampir mustahil, menjadikan aksi play-off pada Mac nanti sebagai laluan terakhir mereka ke Piala Dunia.