Kesemua tujuh pemain itu terdesak untuk mewakili Malaysia – Peter Cklamovski

2,642

Ketua jurulatih Malaysia, Peter Cklamovski menyifatkan bahawa kesemua tujuh pemain yang digantung Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tempoh hari masih berkobar-kobar untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Beliau menegaskan, kesemua pemain itu adalah rakyat Malaysia dan mereka terdesak untuk mewakili negara.


“Tujuh pemain berkenaan, mereka terdesak untuk berada di sini dan mewakili negara ini. Mereka adalah rakyat Malaysia.

Kemenangan pada malam ini adalah untuk mereka juga selain untuk penyokong-penyokong semua,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi yang menyaksikan Malaysia menang 5-1.

Bulan lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain iaitu abriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung pemalsuan dokumen.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan kebanggan kepada para pemain yang bertungkus-lumus memastikan Malaysia menang besar pada malam ini.

Katanya, beliau sangat berbangga mengetuai pasukan yang istimewa ini dan berharap semua peminat akan terus memberikan sokongan pada perlawanan-perlawanan akan datang.