Indra Putra puji fokus dan semangat Harimau Malaya – Inilah landasan tepat untuk kita terus melangkah
Legenda bola sepak negara, Indra Putra Mahayuddin, menzahirkan rasa gembira melihat prestasi semasa skuad Harimau Malaya yang kini berada di landasan tepat selepas mencatat kemenangan meyakinkan 5-1 ke atas Laos dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 baru-baru ini.
Menurut Indra, kemenangan besar tersebut bukan sahaja mencerminkan peningkatan taktikal pasukan, tetapi juga menunjukkan tahap fokus dan disiplin pemain yang semakin mantap.
“Bagi saya, itu satu perkara yang cukup baik untuk negara kita. Semua pemain beraksi cukup baik pada malam itu dan saya berharap mereka dapat terus tunjukkan proses yang positif untuk melangkah lebih jauh,”
ujarnya.
Beliau turut menyifatkan kemenangan itu sebagai landasan terbaik untuk skuad kendalian Peter Cklamovski meneruskan momentum positif menjelang aksi seterusnya dalam kelayakan tersebut.
“Ya, ini merupakan satu landasan yang tepat dengan beberapa perkara yang betul-betul berlaku. Pemain-pemain nampak fokus untuk perlawanan akan datang, dan itu yang kita nak sebenarnya.”
Dalam masa sama, Indra memuji sikap matang para pemain yang mampu mengekalkan fokus di padang walaupun berdepan isu luar kawalan pasukan.
“Bagi saya, pemain-pemain yang ada sekarang cukup bagus kerana mereka tidak terlalu terikut dengan benda-benda luar yang boleh merosakkan prestasi. Mereka dah tunjukkan sesuatu yang baik, dan ini satu contoh untuk pemain-pemain muda yang akan datang.”
Sementara itu, Indra yang kini merupakan salah seorang duta kasut bola Skechers The CTRL^ Pack berkata kasut keluaran terbaru itu bukan sahaja menawarkan rekaan moden tetapi keselesaan maksimum untuk pelbagai posisi.
“Bagi pemain yang banyak buat larian pantas atau kawalan bola, kasut ini memang beri kelebihan dari segi keselesaan dan prestasi.”