Tiada penyokong Maccabi Tel Aviv dibenarkan hadir ke Villa Park
Penyokong Maccabi Tel Aviv tidak dibenarkan hadir ke perlawanan Europa League menentang Aston Villa di Villa Park pada 6 November ini berikutan kebimbangan keselamatan.
Dipetik dari BBC, polis West Midlands memaklumkan bahawa perlawanan tersebut dikategorikan sebagai “berisiko tinggi” selepas penilaian terperinci dilakukan oleh pasukan keselamatan.
Kumpulan Penasihat Keselamatan (Safety Advisory Group), yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil keselamatan perlawanan, memutuskan tiada penyokong pelawat dibenarkan di Birmingham.
Aston Villa dalam kenyataan memaklumkan bahawa mereka kini sedang berhubung rapat dengan pihak Maccabi Tel Aviv dan pihak berkuasa tempatan.
Keputusan ini dibuat berdasarkan insiden terdahulu, termasuk pergaduhan dan kes jenayah kebencian ketika perlawanan Ajax menentang Maccabi Tel Aviv pada Liga Europa 2024 di Amsterdam.
Namun, keputusan itu menerima kecaman beberapa ahli politik, termasuk Perdana Menteri UK, Sir Keir Starmer dan pemimpin Konservatif, Kemi Badenoch, yang menyifatkannya sebagai “keputusan yang salah” dan “memalukan negara”.
UEFA pula menegaskan bahawa keputusan keselamatan sepenuhnya terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.