Jordan Pickford sambung kontrak hingga 2029, janji bina legasi baharu di Everton

31

Penjaga gol utama England, Jordan Pickford, terus menunjukkan kesetiaan luar biasa kepada Everton apabila menandatangani lanjutan kontrak baharu hingga 2029.

Dipetik dari BBC, Pickford, 31, tiba di Goodison Park pada tahun 2017 dari Sunderland dengan yuran perpindahan bernilai £30 juta, menjadikannya penjaga gol British termahal ketika itu. 


Sejak itu, beliau telah membuat lebih 300 penampilan dan meraih empat anugerah Pemain Terbaik Kelab, selain menjadi benteng utama skuad kebangsaan England dengan 80 kaps antarabangsa.

“Everton sangat istimewa buat saya. Saya membesar di sini sebagai pemain dan sebagai insan. Saya yakin hari-hari sukar sudah berlalu dan kini masanya kami membina semula momentum,” katanya.

Lanjutan kontrak Pickford hadir selepas kapten James Tarkowski turut menandatangani perjanjian baharu bulan ini, menandakan era baharu buat The Toffees di bawah kepimpinan pemilik dan pengurus baharu.

Pickford turut bertekad membina legasi seperti legenda Neville Southall, sambil mengimpikan kejayaan membawa semula Everton ke pentas Eropah dan menjulang trofi pertama selepas sekian lama.