Bryan Mbeumo cuba jadi ‘ejen’ pujuk Baleba sertai Manchester United
Penyerang Manchester United, Bryan Mbeumo, dilaporkan cuba memujuk rakan senegaranya, Carlos Baleba, supaya menyertai kelab itu pada masa akan datang.
Menurut laporan media Britain, perbualan itu dikatakan berlaku ketika kedua-dua pemain berada dalam kem latihan skuad kebangsaan Cameroon baru-baru ini.
Mbeumo dikatakan cuba meyakinkan Baleba bahawa menyertai United mampu menjadi langkah besar dalam kariernya di Liga Perdana Inggeris.
Baleba, yang kini beraksi untuk Brighton & Hove Albion, merupakan antara pemain tengah muda paling menyerlah dalam liga.
Namun begitu, Brighton dilaporkan tidak berminat untuk melepaskannya dengan mudah, malah hanya akan mempertimbangkan tawaran yang sangat tinggi sekiranya ada kelab yang datang memancing.
Setakat ini, tiada rundingan rasmi antara Manchester United dan Brighton mengenai pemain berusia 21 tahun itu.
Spekulasi ini timbul susulan minat jangka panjang United terhadap Baleba, yang dianggap memiliki potensi besar untuk memperkukuh barisan tengah kelab tersebut.