FAM percaya aduan kepada FIFA datang dari individu Vietnam, tapi itu belum disahkan – Sivasundaram

460

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Sivasundaram Sithamparam Pillai, mendedahkan bahawa badan induk itu percaya aduan mengenai isu pemain warisan Harimau Malaya kepada FIFA dibuat oleh individu dari Vietnam, namun perkara tersebut belum dapat disahkan sepenuhnya.

Menurut beliau, maklumat itu diperoleh hasil siasatan dalaman FAM selepas laporan rasmi diterima daripada FIFA berhubung kes siasatan terhadap dokumen kelayakan tujuh pemain warisan.


“Kami percaya individu dari Vietnam yang membuat aduan itu, tetapi setakat ini belum ada pengesahan rasmi. Kami percaya begitu, tapi belum ada kepastian,”

katanya pada sidang media khas FAM sebentar tadi.

Beliau turut menegaskan bahawa FAM kini menumpukan sepenuhnya kepada proses rayuan rasmi di FIFA dan penubuhan jawatankuasa bebas bagi menyiasat punca sebenar isu berkenaan. 

Sivasundaram turut memaklumkan bahawa Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman, telah digantung tugas serta-merta bagi memberi laluan kepada siasatan bebas yang dijalankan.

“Kami tidak mahu beliau berada di sekitar semasa siasatan dijalankan bagi menjamin ketelusan.”

Sementara itu, Sivasundaram berkata siasatan oleh jawatankuasa bebas dijangka bermula dalam masa terdekat dan akan dianggotai oleh tokoh luar yang berpengalaman.

Keputusan rasmi dijangka diumumkan selepas proses rayuan FIFA selesai sepenuhnya.