Jika ada kesalahan, ia harus disasarkan kepada pihak ‘bertanggungjawab’ dalam perkara ini – Serge Vittoz

1,310

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa rayuan rasmi yang difailkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bukan bertujuan menafikan kewujudan isu perbezaan dokumen, sebaliknya untuk menjelaskan bahawa tiada sebarang unsur pemalsuan dilakukan oleh mana-mana pemain warisan atau oleh FAM sebagai institusi.

Peguam FAM, Serge Vittoz, menjelaskan bahawa objektif utama rayuan tersebut adalah untuk membatalkan keseluruhan keputusan dan hukuman yang dikenakan, serta membuktikan bahawa badan induk bola sepak negara itu tidak mempunyai penglibatan langsung dalam sebarang proses pemalsuan.


“Rayuan ini bertujuan menunjukkan bahawa tidak ada pemalsuan daripada pihak pemain, dan tidak ada pemalsuan daripada pihak FAM. Jika benar terdapat kesalahan, ia seharusnya disasarkan kepada individu yang bertanggungjawab dalam perkara ini,” 

katanya pada sidang media khas FAM sebentar tadi.

Menurut Vittoz, dokumen yang dipersoalkan sebenarnya mematuhi sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun wujud percanggahan antara sijil kelahiran asal dari luar negara dengan versi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. 

Beliau menegaskan bahawa isu tersebut perlu diperjelaskan melalui siasatan rasmi bagi mengenal pasti punca sebenar percanggahan tersebut.

“Ya, dalam rayuan tersebut, FAM tidak menafikan kewujudan dokumen yang dipertikaikan. Dokumen itu mematuhi sistem JPN, namun ia tidak sama dengan sijil kelahiran asal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa luar negara. 

Oleh itu, terdapat percanggahan antara sijil kelahiran daripada pihak berkuasa asing dan sijil kelahiran JPN — dan inilah yang cuba dijelaskan dalam rayuan, bagi memahami melalui siasatan mengapa wujudnya ‘dokumen pertengahan’ tersebut.”

Sementara itu, Vittoz berkata walaupun FIFA memiliki bukti yang dirujuk dalam kes ini, FAM akan melakukan siasatan dalaman untuk mengenal pasti bagaimana percanggahan dua dokumen itu boleh berlaku.

“Saya difahamkan bahawa jawatankuasa siasatan dalaman FAM akan cuba mengenal pasti bagaimana perbezaan antara dua dokumen itu boleh berlaku. Akhirnya, terpulang kepada FIFA untuk membuat keputusan mengenainya.”