Berhijrah ke Filipina jadi titik kebangkitan V. Ruventhiran

615

Pemain pertahanan kiri negara, V. Ruventhiran, kini menunjukkan kebangkitan positif dalam kariernya selepas berhijrah ke Philippines Football League (PFL) untuk menyertai Aguilas UMak bagi musim 2025/26.

Bekas pemain Selangor FC dan PJ City FC itu dilihat semakin menyesuaikan diri dengan corak permainan di liga tersebut apabila mula mendapat kepercayaan daripada ketua jurulatih, Frank Muescan, yang menurunkannya dalam tiga daripada enam perlawanan terakhir. 


Dalam tempoh itu, Ruventhiran berjaya mengumpul 255 minit permainan yang merupakan satu perkembangan besar selepas bergelut untuk mendapatkan peluang beraksi di Malaysia sebelum ini.

Lebih manis, pemain berusia 24 tahun itu turut mencipta dua bantuan gol, sekali gus menjadikannya ‘top assist’ dalam pasukan Aguilas UMak selepas enam perlawanan. 

Ia membuktikan keupayaan Ruventhiran bukan sahaja sebagai pemain bertahan, tetapi juga sebagai ancaman ketika menyerang di bahagian sayap.

Langkah berani Ruventhiran berhijrah ke luar negara jelas membuahkan hasil dan menjadi inspirasi kepada pemain muda lain yang ingin menimba pengalaman baharu. 

Jika prestasi konsisten ini dapat diteruskan sepanjang musim, tidak mustahil Ruventhiran bakal menarik semula perhatian skuad kebangsaan Harimau Malaya pada masa akan datang.