Maguire selamatkan United, tamatkan badi 9 tahun di Anfield
Tandukan lewat Harry Maguire menjadi detik gemilang buat Manchester United apabila mereka meraih kemenangan pertama di Anfield dalam tempoh hampir sedekad, menundukkan Liverpool 2-1 yang kini tewas empat perlawanan berturut-turut.
Dipetik dari BBC, aksi bermula dengan penuh dramatik apabila Bryan Mbeumo membuka jaringan seawal minit kedua, namun gol itu mencetus kontroversi selepas pengadil Michael Oliver membenarkan permainan diteruskan walaupun Alexis Mac Allister terbaring akibat terkena siku rakan sepasukan, Virgil van Dijk.
Liverpool menggandakan usaha untuk bangkit dan akhirnya menyamakan kedudukan menerusi Cody Gakpo pada minit ke-78.
Sebelum itu, penyerang Belanda itu tiga kali dinafikan palang gol, namun tetap menjadi ancaman utama buat benteng United.
Ketika keputusan seri seolah-olah sudah pasti, Maguire muncul wira apabila menanduk masuk bola melepasi jangkauan Giorgi Mamardashvili enam minit sebelum tamat perlawanan.
Kemenangan bersejarah ini menamatkan badi United di Anfield sejak Januari 2016, manakala Liverpool pula terus bergelut, mengalami empat kekalahan berturut-turut buat kali pertama sejak era Brendan Rodgers pada 2014.