Joel Cornelli anggap undian kumpulan Sukan SEA 2025 tidak seimbang

142

Ketua Jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Joel Cornelli, menyifatkan undian kumpulan bola sepak wanita Sukan SEA 2025 di Thailand sebagai satu kejutan besar selepas Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tiga pasukan gergasi serantau iaitu Vietnam, Myanmar dan Filipina.

Menurut Cornelli, kumpulan yang dihuni Malaysia kali ini dianggap “kumpulan maut” berdasarkan ranking semasa dunia, di mana Vietnam, Myanmar dan Filipina masing-masing berada di ranking ke-37, 39 dan 56 dunia.


“Dalam satu lagi kumpulan, hanya Thailand yang memiliki ranking tinggi manakala pasukan lain seperti Kemboja, Indonesia dan Singapura berada di kedudukan jauh lebih rendah. Jadi, saya rasa pembahagian kumpulan kali ini agak tidak seimbang,”

ujarnya.

Cornelli bagaimanapun tetap optimis dan menegaskan bahawa skuad Malayan Tigress akan berjuang habis-habisan untuk merebut tempat ke separuh akhir.

“Fokus kami sekarang ialah memperkemas aspek teknikal dan mental pemain. Kami juga akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan menentang Hong Kong sebagai sebahagian daripada persiapan penting menuju Sukan SEA.”

Beliau berharap pengalaman dan semangat juang tinggi pemain mampu menjadi kekuatan utama Malaysia dalam menghadapi cabaran getir di Thailand nanti.