Air panas Stadium Emirates tak berfungsi, Atletico Madrid buat aduan ke UEFA
Atletico Madrid dilaporkan membuat aduan rasmi kepada UEFA selepas mendapati kemudahan air panas di bilik persalinan Stadium Emirates tidak berfungsi ketika sesi latihan menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Arsenal.
Insiden itu berlaku pada petang Ahad lalu, apabila para pemain Atletico mendapati tiada air panas di bilik mandi selepas tamat latihan.
Masalah tersebut dikatakan melibatkan kedua-dua bilik persalinan pasukan tuan rumah dan pelawat.
Menurut laporan media Sepanyol, masalah berkenaan dilaporkan sekitar jam 6.45 petang dan hanya berjaya diselesaikan kira-kira 40 minit kemudian – namun ketika itu skuad Diego Simeone sudah meninggalkan stadium untuk kembali ke hotel.
Arsenal kemudiannya memohon maaf kepada pihak Atletico atas kesulitan tersebut, sambil menjelaskan isu itu berpunca daripada masalah teknikal sementara.
Atletico bagaimanapun tetap mengemukakan aduan rasmi kepada UEFA, memandangkan peraturan pertandingan menetapkan bilik persalinan mesti dilengkapi kemudahan asas termasuk pancuran air panas.
Perlawanan antara Arsenal dan Atletico dijadualkan berlangsung awal pagi Rabu waktu Malaysia di Emirates Stadium.