Zubair Firdaus ‘on fire’! Sedia gegar Dubai cari slot ke The Masters & The Open

51

Bintang muda golf negara, Zubair Firdaus, kini tampil dengan semangat baharu dan keyakinan tinggi menjelang Kejohanan Amatur Asia-Pasifik (Asia-Pacific Amateur Championship) yang bakal berlangsung di Emirates Golf Club, Dubai minggu ini.

Pemain berusia 23 tahun itu hadir ke kejohanan berprestij ini berbekalkan momentum kemenangan selepas menjuarai Bahrain Amateur Open dua minggu lalu, di mana beliau bangkit daripada ketinggalan lima pukulan untuk muncul juara dengan kelebihan dua pukulan, satu pencapaian yang melonjakkan semangatnya menjelang cabaran kali ini.


“Kemenangan di Bahrain memberi saya keyakinan besar. Golf banyak bergantung pada momentum dan saya mahu kekalkan rentak ini di Dubai,” katanya.

Zubair, yang baru menamatkan pengajian di San Jose University, mengetuai skuad Malaysia yang turut dibarisi Anson Yeo, Zia Iqmal Abdul Rashid, Hariz Hezri, Maverick Chua, Farez Azihan dan Joshua Lim. 

Juara kejohanan ini akan menerima tiket istimewa untuk beraksi di dua kejohanan utama dunia iaitu The Masters dan The Open tahun depan.

Menariknya, Dubai bukan tempat asing buat Zubair yang pernah menetap di sana selama lapan tahun sejak kecil. 

“Saya membesar di padang golf ini. Saya tahu cara bermain dalam keadaan berangin, dan itu satu kelebihan besar,” jelasnya.

Empat tahun menimba pengalaman dalam sistem golf kolej Amerika turut membentuk kematangannya dari segi teknik dan mental. 

“Saya kini lebih tenang dan bermain dengan kawalan emosi yang lebih baik,” ujarnya.

Tiada pemain Malaysia pernah menjuarai kejohanan ini sejak 2009, namun Zubair bertekad untuk mengubah sejarah. 

“Saya tak mahu fikir tentang ganjaran besar atau tekanan. Saya hanya mahu bermain dengan tenang dan berikan yang terbaik untuk Malaysia.”

Turut menjadi tumpuan ialah Anson Yeo, pemain berusia 19 tahun dari Kuching yang kini berada di ranking 232 dunia dan mahu memperbaiki pencapaian terbaiknya di tempat ke-29 pada 2022.

“Padang ini panjang dan mencabar, tapi saya akan berikan yang terbaik. Siapa tahu, mungkin kali ini peluang saya untuk cipta sejarah,” katanya penuh azam.

Malaysia kini menaruh harapan besar agar generasi muda seperti Zubair dan Anson mampu membawa nama negara bersinar di pentas Asia dan mungkin, dunia.