Persiapan UCL Liverpool terganggu, penerbangan ke Frankfurt tergendala empat jam

66

Persiapan Liverpool menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Eintracht Frankfurt terganggu selepas penerbangan pasukan itu mengalami kelewatan hampir empat jam pada Selasa.

Pesawat yang dijadual berlepas dari Lapangan Terbang John Lennon, Liverpool ke Frankfurt dilaporkan berdepan masalah teknikal, menyebabkan skuad bimbingan Arne Slot terpaksa menunggu lama sebelum berlepas.


Akibat kelewatan tersebut, sidang media praperlawanan yang sepatutnya diadakan di Jerman terpaksa dibatalkan.

Menurut laporan Reuters, pasukan akhirnya tiba di Frankfurt lewat petang, beberapa jam selepas jadual asal.

Walaupun gangguan itu menjejaskan rutin biasa pasukan, Slot menegaskan bahawa ia tidak akan mengganggu fokus atau persiapan pemain menjelang perlawanan penting itu.

Liverpool kini berada dalam tekanan selepas mencatat empat kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Perlawanan menentang Frankfurt dilihat sebagai peluang untuk mereka bangkit, walaupun permulaan perjalanan mereka ke Jerman tidak berjalan lancar.