WWC jadi medan Hudzaifah buru kemenangan pertama dalam tinju profesional!

141

Arena 9, Nilai bakal menjadi saksi pertarungan sengit antara dua bintang serantau apabila peninju Malaysia, Mohammad Hudzaifah bin Reitz, bakal turun ke gelanggang bagi memburu kemenangan profesional pertamanya pada Warzone World Championship (WWC) yang akan berlangsung selama dua hari pada 6 dan 7 Disember ini.

Berusia 29 tahun dan mewakili Slick Boxing Team, Hudzaifah memiliki rekod amatur 20 kemenangan dan 3 kekalahan, serta kini membawa misi besar untuk menebus kegagalan dalam penampilan sulung profesionalnya. 


Lebih menarik, pertarungan kali ini turut menawarkan gelaran WWC International Influencer Super Middleweight Champion, menjadikan perlawanan tersebut antara yang paling dinantikan peminat tempatan dan serantau.

Dengan ketinggian 177 sentimeter dan berat 75 kilogram, beliau dikenali dengan gaya bertarung yang tenang, taktikal dan penuh disiplin, menjadikannya antara prospek tempatan yang semakin menyerlah di gelanggang tinju.

Cabaran buat Hudzaifah bukan calang-calang apabila lawannya kali ini ialah Adam Maulana, peninju berusia 28 tahun dari Depok, Jawa Barat, Indonesia. 

Adam yang mempunyai rekod pertarungan 3 profesional dan 1 amatur, turut memiliki latar belakang pelbagai disiplin bela diri serta pengalaman beraksi dalam kejohanan seperti Byon 3, Baku-Hantam 5, Street Fight, dan Call Out Vol. 2. 

Dikenali sebagai outboxer dengan strategi licik dan gaya agresif, Adam dijangka memberi saingan sengit kepada wakil tuan rumah itu.

Pertembungan dua peninju ini bakal menjadi Main Event pada 6 Disember yang turut menghimpunkan jaguh tinju dan Muay Thai dari rantau Asia Tenggara.

Segala mata kini tertumpu ke Arena 9, Nilai, di mana Hudzaifah membawa harapan peminat tempatan untuk menyaksikan detik kebangkitan peninju Malaysia itu di pentas profesional.

Bagi peminat yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan aksi panas di Warzone World Championship (WWC), tiket dan akses tontonan PPV kini boleh didapati di laman rasmi wwcworld.com

Untuk mengikuti segala kemas kini, jadual, dan hype pertarungan terkini, peminat juga boleh melayari pautan rasmi linktr.ee/wwc.championshipp

Selain itu, aksi penuh kejohanan ini turut disiarkan secara langsung di saluran YouTube rasmi Warzone World Championship, membolehkan peminat dari seluruh dunia merasai kehangatan pertarungan secara real time.