EsportsLAH 2025 kembali lebih besar, bersatu dalam LahLahLand di MIECC!

74

Festival esports dan gaya hidup terbesar tanah air, EsportsLAH 2025, kembali dengan edisi paling epik setakat ini apabila ia rasmi menjadi sebahagian daripada LahLahLand, acara pelbagai hari yang menggabungkan dunia gaming, streetwear, muzik, seni, automotif, jam tangan dan koleksi eksklusif dalam satu pengalaman luar biasa.

Acara yang akan berlangsung pada 1 hingga 2 November 2025 di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC), The Mines, dijangka menarik ribuan peminat dan komuniti digital dari seluruh negara.


Dikuasakan oleh Mountain Dew sebagai penaja utama, EsportsLAH 2025 menjanjikan dua hari penuh aksi dan hiburan dengan pelbagai acara menarik seperti kejohanan eFootball dan E-Racing, pertemuan bersama legenda serta personaliti esports tempatan, dan aktiviti komuniti interaktif.

Selain itu, kolaborasi dengan Playaz sebagai rakan barangan rasmi dan Mokky’s Pizza sebagai rakan rasmi makanan memberikan sentuhan gaya hidup unik yang menyatukan dunia fesyen, makanan dan budaya esports dalam suasana yang penuh tenaga.

Menurut Pengarah Projek EsportsLAH, Syamsul, penyertaan dalam LahLahLand meluaskan lagi skop acara ini daripada sekadar kejohanan kompetitif kepada perayaan budaya digital belia Malaysia.

“EsportsLAH bukan hanya tentang persaingan di skrin, tetapi meraikan kreativiti, komuniti dan semangat anak muda yang membentuk masa depan budaya digital negara,” katanya.

Dengan penganjuran bersama LahLahLand, pengunjung bakal menikmati pengalaman yang jauh melangkaui dunia permainan termasuk pameran streetwear, persembahan muzik, pertunjukan seni dan automotif, serta pameran jam tangan dan koleksi eksklusif.

EsportsLAH 2025 dijangka menjadi titik pertemuan antara dunia digital dan budaya urban Malaysia, menjadikan MIECC sebagai destinasi utama untuk semua pencinta gaya hidup moden.