Coach Tat Meng tidak bersendirian, Malaysia hargai jasanya – Hannah Yeoh

70

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, hari ini menyampaikan mesej penuh ‘sayang’ kepada bekas jurulatih kebangsaan badminton, Wong Tat Meng, bahawa beliau tidak bersendirian dan tidak dilupakan, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya yang besar dalam pembangunan sukan negara.

Tat Meng kini sedang menjalani proses pemulihan di Australia selepas mengalami kemalangan motosikal serius pada awal September lalu. 


Memetik hantaran Tat Meng di Facebook, beliau berasa “amat terharu” atas bunga dan ucapan perhatian yang dihantar oleh Hannah dan juga Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya mahu Coach Tat Meng tahu beliau bukan bersendirian, negara menghargai segala sumbangannya dalam sukan dan mahu melihat beliau kembali kuat,” ujar Hannah.

Ia bukan sekadar ungkapan simpati, tetapi refleksi kewajipan negara menghargai insan yang pernah menyumbang besar dalam pembangunan atlet dan sukan kebangsaan.

Tat Meng telah memainkan peranan penting dalam mengasah bakat-bakat muda dan bintang badminton Malaysia di peringkat antarabangsa. 

Beliau pernah berkhidmat di pelbagai negara dan membantu melahirkan nama-nama seperti Lee Zii Jia.