NJDP MGA & Akademi PKNS jalin kerjasama untuk lahirkan pelapis golf bertaraf dunia

38

Usaha memperkukuh masa depan sukan golf negara terus dipertingkatkan apabila National Junior Development Programme (NJDP) di bawah naungan Malaysian Golf Association (MGA) menjalin kerjasama strategik dengan Akademi PKNS dalam pembangunan pemain pelapis berkualiti tinggi.

Kolaborasi ini menjadi detik penting buat kedua-dua pihak yang komited mewujudkan laluan lebih jelas dan tersusun untuk pemain muda berpotensi tinggi melangkah ke pentas profesional. 


Kerjasama ini merangkumi perkongsian kepakaran dalam aspek latihan teknikal, kejurulatihan serta program pembangunan pemain yang berstruktur.

Akademi PKNS sebelum ini telah berjaya melahirkan ramai bakat muda yang menonjol di kejohanan tempatan dan antarabangsa. 

Dengan kekuatan itu digabungkan bersama landasan pembangunan NJDP MGA, kedua-dua pihak yakin usaha ini mampu memecut pembentukan generasi baharu pemain elit Malaysia yang lebih kompetitif di peringkat global.

Pengerusi Pembangunan Junior Golf Malaysia, Mohd Fauzi Mesran menegaskan bahawa kerjasama ini wajar dijadikan contoh kepada akademi-akademi lain dalam memastikan pembangunan akar umbi terus kukuh dan sistematik.

“Kerjasama ini menjadi bukti bahawa MGA kekal komited dalam melaksanakan program pembangunan junior di Malaysia, selaras dengan matlamat melahirkan lebih ramai pemain elit bertaraf dunia pada masa akan datang,” katanya.

Dengan visi besar ini, industri golf negara semakin bersedia untuk melihat kemunculan bintang masa hadapan yang mampu mengharumkan nama Malaysia di pentas tertinggi dunia.