Sudsakorn vs Yang Guang: Pertarungan dua jaguh Asia rebut gelaran WWC International Muay Thai Middleweight
Pertembungan yang dinanti-nantikan peminat seni bela diri bakal menyaksikan dua generasi Muay Thai bertemu dalam satu gelanggang, legenda Thailand, Sudsakorn Sor Klinmee, berdepan bintang meningkat naik China, Yang Guang, dalam perebutan gelaran WWC International Muay Thai Middleweight Champion yang akan berlangsung di Arena 9, Nilai.
Sudsakorn, yang berasal dari Pattaya, Thailand merupakan antara nama paling berpengaruh dalam sejarah Muay Thai moden dengan rekod lebih 300 pertarungan profesional serta lebih 280 kemenangan direkodkan sepanjang kariernya.
Beliau bukan sekadar ikon dalam gelanggang, tetapi lambang maruah dan disiplin Muay Thai klasik, dibentuk melalui pengalaman yang merentasi aksi-aksi gah seperti Thai Fight, Lion Fight serta K-1.
Dengan pelbagai gelaran dunia berjaya dirangkul sejak 2006, kemunculannya di Malaysia kali ini bukan sekadar untuk bertarung, tetapi mengingatkan dunia bahawa legenda tidak pernah hilang taring.
Namun, di sudut satu lagi, berdiri seorang pencabar yang semakin mencuri perhatian dunia, Yang Guang dari Qihang Fighting Club.
Dengan rekod mengagumkan, 54 kemenangan daripada 65 pertarungan termasuk 20 melalui KO, Yang Guang hadir dengan reputasi sebagai salah satu fighter paling berbahaya di China masa kini.
Juara Muay Thai Kebangsaan China ini turut memiliki pengalaman bertaraf elit apabila pernah tersenarai dalam KLF World Top 10 Ranking, sekali gus membuktikan bahawa beliau adalah kuasa baharu yang tidak boleh dipandang remeh.
Pertembungan ini menyaksikan dua generasi seni bela diri Asia bertemu di gelanggang yang sama iaitu seorang legenda yang masih unggul menentang pahlawan muda yang datang membawa amaran.
Dengan lima pusingan yang bakal menguji ketahanan mental dan fizikal kedua-duanya, perlawanan ini dijangka menjadi antara aksi paling panas dan penuh emosi dalam penganjuran WWC edisi kali ini.
Warzone World Championship (WWC) akan berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini, dan peminat yang mahu menyaksikan aksi penuh drama, teknik dan keberanian ini boleh mendapatkan tiket dan akses PPV di laman rasmi wwcworld.com.
Segala maklumat serta kemas kini berhubung acara turut boleh diikuti melalui pautan linktr.ee/wwc.championshipp, manakala siaran langsung kejohanan ini akan dipancarkan terus ke seluruh dunia menerusi saluran YouTube rasmi Warzone World Championship.
Pertarungan yang mendebarkan sedang menanti. Malaysia menjadi gelanggangnya.
Siapakah yang bakal berdiri megah sebagai juara dunia, legenda atau kuasa baharu Asia?