WWC 2025: Kilat Boy sasar tali pinggang IBA, Kuldeep sedia gegar dominasi Asia
Pertarungan tumpuan kelas Superbantamweight (55.5kg) pada Warzone World Championship (WWC) 2025 bakal mempertemukan dua jaguh muda Asia yang sedang melonjak dalam pentas tinju profesional iaitu Kilat Boy dari Malaysia dan Kuldeep Tarkar dari India.
Aksi 10 pusingan ini bukan sekadar merebut gelaran IBA Intercontinental, tetapi menjadi medan penentu siapa yang layak digelar bintang masa depan tinju Asia.
Kilat Boy membawa bersama reputasi besar sebagai antara petinju Malaysia paling berbakat masa kini.
Dengan rekod profesional 9 kemenangan, 3 kekalahan dan 1 seri selepas melalui perjalanan panjang sebagai atlet amatur dengan 87 kemenangan, beliau kini dilihat semakin hampir memenuhi ramalan sebagai harapan negara untuk mara ke pentas kejuaraan dunia.
Gaya serangannya yang orthodox, pantas dan sentiasa bersedia melakukan counter punch menjadikan beliau lawan yang sukar dibaca.
Malah, ketenangan taktikalnya di dalam gelanggang pernah menjulang dua gelaran penting iaitu WBC Asia Silver dan ABF Asia Continental sekaligus meletakkannya dalam senarai prospek besar Malaysia untuk bergelar juara dunia pada masa akan datang.
Namun, Kilat Boy tidak berdepan laluan mudah untuk melengkapkan misinya kerana Kuldeep Tarkar hadir dengan keyakinan tinggi mewakili generasi baharu tinju India yang semakin mendapat perhatian di pentas antarabangsa.
Meskipun rekod profesionalnya masih awal dengan empat pertarungan, gaya pertarungannya yang agresif dan bertenaga menjadikan beliau ancaman serius.
Kuldeep terkenal dengan tekanan bertubi-tubi serta keupayaan menekan lawan secara konsisten sepanjang pertarungan, ciri yang mampu menggugat struktur pergerakan Kilat Boy jika tidak dikawal dari awal.
Latihan intensif dalam sistem pembangunan tinju India yang semakin pesat turut menambah kekuatan teknikalnya.
Pertembungan dua personaliti berbeza dalam seni bertinju ini mampu mencetuskan drama dan momentum yang tidak dapat dijangka dari detik loceng pertama dibunyikan.
Malaysia membawa impian besar untuk menyaksikan Kilat Boy mengibarkan Jalur Gemilang sebagai juara Intercontinental baharu, manakala India pula melihat pertarungan ini sebagai pentas kebangkitan petinju muda yang mahu mencipta nama besar dalam kariernya.
Warzone World Championship (WWC) bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember 2025 dengan siaran langsung ke seluruh dunia.
Peminat yang tidak mahu terlepas aksi adrenalin ini boleh mendapatkan tiket dan akses PPV di laman rasmi wwcworld.com, selain mengikuti perkembangan serta jadual acara melalui linktr.ee/wwc.championshipp.
Pertarungan ini dijangka menjadi antara yang paling sengit dan hanya satu nama bakal pulang sebagai juara.