Martinez kembali berlatih, Amorim pilih pendekatan berhati-hati

93

Manchester United memilih untuk tidak terburu-buru dalam proses pemulihan Lisandro Martinez yang baru kembali menjalani latihan selepas pembedahan lutut. 

Dipetik dari BBC, ketua jurulatih, Ruben Amorim, menegaskan pemain pertahanan Argentina itu masih memerlukan masa untuk benar-benar cergas sebelum diturunkan semula.


Martinez, 27, tidak beraksi sejak Februari lalu selepas mengalami kecederaan ligamen cruciate ketika menentang Crystal Palace. 

Ia merupakan kecederaan serius keempatnya sejak menyertai United dari Ajax pada 2022  antara faktor yang mendorong Amorim untuk lebih berhati-hati.

“Dia mahu bermain minggu ini, tetapi kami tidak akan ambil risiko. Dia baru mula berlatih dan kami perlu sesuaikan beberapa aspek dalam latihannya supaya pulih sepenuhnya,” jelas Amorim.

Walaupun belum bersedia untuk diturunkan, kepulangan Martinez tetap memberi impak positif kepada skuad United. 

Amorim mengakui semangat juang dan kepimpinan pemain itu amat dirasai dalam sesi latihan, menambah tenaga baharu dalam pasukan yang sedang berusaha memperkukuh prestasi menjelang perlawanan menentang Nottingham Forest.