Birdie terakhir selamatkan hari! Genevieve Ling kekal fokus di Maybank Championship
Pemain golf negara, Genevieve Ling, terus menunjukkan ketenangan dan ketabahan apabila menamatkan hari kedua Maybank Championship 2025 dengan catatan even par, sekaligus mengumpul 141 pukulan, tiga di bawah par untuk berada di kedudukan T41 keseluruhan.
Walaupun prestasinya hari ini sedikit tidak menentu, Genevieve tetap mampu menutup pusingan dengan birdie bergaya di lubang ke-18 yang merupakan detik yang cukup memulihkan keyakinan menjelang dua hari terakhir kejohanan.
“Terima kasih, agak turun naik hari ini. Saya bermula dengan bogey dan kemudian buat beberapa birdie, tetapi pukulan saya tidak begitu baik. Saya banyak bergantung pada permainan pendek dan agak berpuas hati dengan putting saya,”
ujarnya.
Menurut Genevieve, keadaan padang tidak banyak berubah berbanding semalam, cuma green dilihat sedikit lebih laju, namun beberapa kesilapan kecil menguji fokusnya di lapangan.
“Saya ada buat beberapa pukulan yang kurang baik dan terkena air di lubang 16, jadi saya gembira dapat selamatkan bogey di situ. Secara keseluruhan, saya rasa saya bertahan dengan baik dan cuba kekal dalam permainan.”
Dalam pada itu, Genevieve berkata birdie di lubang terakhir sedikit sebanyak memberi suntikan semangat baharu buatnya.
“Saya memang melakukan putting dengan baik sepanjang hari, jadi saya benar-benar mahu birdie itu untuk kembali ke even par. Birdie di lubang 18 memang rasa sangat memuaskan.”
Sementara itu, menjelang hari ketiga esok Genevieve merancang untuk memperkemas semula permainan dan ketepatan pukulannya.
“Saya akan ke driving range sekejap untuk dapatkan semula rasa pukulan yang baik. Selepas itu, saya rasa saya sudah bersedia sepenuhnya.”