Hannah Yeoh bangga prestasi pemain golf wanita Malaysia, janji terus perkukuh sokongan & dana pembangunan

56

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menegaskan kepentingan kesinambungan dasar kerajaan serta sokongan kewangan berterusan dalam memastikan pembangunan sukan golf Malaysia terus maju ke hadapan, khususnya dalam kalangan atlet wanita.

Bercakap kepada media ketika hadir pada hari terakhir Maybank Championship 2025 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Hannah menzahirkan rasa bangga terhadap lima pemain wanita negara yang beraksi dalam kejohanan tersebut, termasuk bintang muda, Mirabel Ting, yang baru beralih ke status profesional tahun ini.


“Saya bangga dengan prestasi mereka, khasnya Mirabel Ting. Dengan lebih banyak pendedahan dan sokongan kewangan, saya percaya beliau boleh melonjakkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,”

katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa KBS telah memperkukuh kerjasama bersama Malaysian Ladies Golf Association (MALGA) dengan menyalurkan peruntukan bagi program pembangunan, termasuk klinik golf untuk pelajar sekolah serta perjanjian bersama KGNS bagi memberi kemudahan latihan kepada atlet tempatan pada kadar diskaun.

Dalam pada itu, Hannah mengakui bahawa sukan golf, terutamanya di peringkat pembangunan, memerlukan pelaburan besar dan kebanyakan atlet masih bergantung kepada sokongan keluarga. 

Oleh itu, KBS kini membuka permohonan khas untuk atlet persendirian memohon dana bantuan bagi meringankan beban kos.

“Golf ini sukan solo, kalau tiada dana berterusan, ia mudah tenggelam. Jadi konsistensi dasar kerajaan dalam menyokong sukan ini amat penting.”

Hannah turut menyeru lebih banyak syarikat GLC dan swasta melabur dalam industri sukan, sambil menzahirkan penghargaan kepada Maybank atas komitmen berterusan mereka dalam penganjuran kejohanan bertaraf dunia ini.

“Pelaburan sukan bukan hasil setahun dua, tapi lima hingga sepuluh tahun akan datang. Apa yang Maybank lakukan hari ini, manfaatnya akan dirasai generasi atlet masa depan.”