Xabi Alonso yakin Florian Wirtz akan tunjukkan kualiti sebenar bersama Liverpool

49

Pengurus Real Madrid, Xabi Alonso, yakin pemain muda Jerman, Florian Wirtz, mempunyai segala kualiti untuk berjaya bersama Liverpool meskipun berdepan tempoh sukar dalam beberapa bulan pertama di England.

Dalam sidang media pra-perlawanan menjelang aksi menentang Liverpool di Liga Juara-Juara, Alonso menyifatkan Wirtz sebagai pemain istimewa yang hanya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.


“Saya tiada sebarang keraguan. Ia hanya soal masa. Dia perlu menyesuaikan diri, tetapi dia pemain yang sangat istimewa – memiliki kualiti dan personaliti luar biasa.”

“Saya yakin tak lama lagi dia akan tunjukkan kelas sebenar dan menyerlah di Liga Perdana,”

katanya.

Wirtz, 22 tahun, sebelum ini berpindah ke Liverpool selepas tampil cemerlang di bawah bimbingan Alonso di Bayer Leverkusen.

Walaupun belum mencapai tahap terbaiknya di Anfield, Alonso percaya bekas anak didiknya itu akan menjadi aset penting dalam sistem permainan The Reds.

“Dia ada karakter untuk bermain di peringkat tertinggi. Liverpool dapat pemain yang bukan sahaja berbakat, tapi juga sangat matang untuk usianya,”

tambah pengendali dari Sepanyol itu.

Liverpool yang dibimbing Arne Slot dijangka terus memberi peluang kepada Wirtz untuk membina keserasian dengan pasukan, sambil Alonso sendiri yakin pemain muda Jerman itu bakal menjadi antara bintang utama di masa depan.