Merino terus garang, jadi penyelamat Arsenal di Eropah

67

Mikel Merino terus membuktikan dirinya sebagai watak penting dalam skuad Arsenal musim ini apabila menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Slavia Prague dalam saingan Champions League, awal pagi tadi.

Dipetik dari BBC, beraksi sebagai penyerang menggantikan Viktor Gyokeres yang mengalami kecederaan otot, pemain tengah berusia 29 tahun itu sekali lagi menunjukkan ketajamannya di depan gol — sesuatu yang semakin biasa disaksikan penyokong The Gunners sejak beberapa bulan kebelakangan ini.


Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memuji keupayaan dan mentaliti Merino yang dianggap sebagai ‘penyelamat’ pasukan ketika ramai pemain menyerang sedang direhatkan akibat kecederaan.

“Dia luar biasa, kepimpinan dan semangatnya menjadikan dia contoh terbaik dalam pasukan,” kata Arteta.

Sejak mengambil alih peranan penyerang sementara pada Februari lalu, Merino telah menjaringkan gol penting menentang Leicester, Chelsea, Fulham dan Real Madrid, serta menamatkan musim lalu dengan sembilan gol.

Musim ini, Merino sudah mencatat tiga jaringan dan membantu Arsenal merekodkan 10 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan menjadi bukti bahawa sentuhan emasnya masih berbisa.