“Green light” dari TMJ, ke manakah destinasi Arif Aiman selepas ini?

5,558

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) seolah-olah memberikan ‘green light’ untuk pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi untuk melebarkan sayap ke liga luar.

Pemain berusia 19 tahun ini menampilkan aksi yang memukau apabila berjaya menggondol anugerah Most Valuable Player (MVP), Penyerang Tempatan Terbaik, Pemain Muda Terbaik selain mendapat undian peminat untuk berada dalam Fans XI pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2021.


Sepanjang musim 2021 yang lalu, pemain kelahiran Pahang ini menampilkan aksi konsisten dalam membantu JDT memenangi Liga Super 2021. Biarpun masih muda, namun kematangan yang ditunjukkan oleh beliau menunjukkan beliau bersedia untuk beraksi di pentas yang lebih tinggi.

Cuma, yang menjadi persoalannya ke manakah destinasi yang sesuai untuk Arif Aiman?

Tambahan pula, TMJ ada mengeluarkan kenyataan bahawa baginda bersedia melepaskan pemain sayap itu ke mana-mana liga sekalipun. Yang menjadi perkara mustahak adalah tentang jurulatih dan sistem yang boleh meningkatkan kualiti beliau.

JDT merupakan antara kuasa besar di rantau Asia Tenggara. Jika dilihat kualiti yang ada pada pasukan Harimau Selatan ini tidak banyak berbeza dengan pasukan-pasukan yang berada di liga-liga serantau seperti Buriram United dalam Thai League.

Destinasi seperti Jepun, Korea Selatan mahupun Australia boleh dijadikan antara pilihan buat Arif Aiman sekiranya mahu melebarkan sayapnya diluar.

Liga-liga ini mempunyai kualitinya tersendiri. Tambahan pula, Jepun merupakan salah sebuah kuasa besar Asia yang mempunyai banyak pemain-pemain berkualiti yang beraksi dalam J-League.

Lihat sahajalah tonggak utama Thailand, Chanatip Songkrasin yang mempamerkan aksi hebat bersama Hokkaido Consodale Sapporo sebelum dilamar Kawasaki Frontale. Kualiti yang beliau tampilkan ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan Thailand jelas menunjukkan beliau berada pada satu tahap yang tinggi berbanding pemain-pemain lain.

K-League dan A-League juga tidak kurang hebatnya dan boleh menjadi destinasi yang sesuai untuk Arif Aiman memperagakan bakatnya. Peluang beraksi bersama pemain-pemain berkelas tinggi akan membantu Arif Aiman meningkatkan lagi tahap permainannya.

Ini merupakan platform terbaik untuk para pemain sebelum merintis kemungkinan untuk beraksi di liga yang lebih kompetitif seperti di Eropah.