Manchester City terus gah di Eropah, Foden & Haaland jadi pemusnah Dortmund
Phil Foden dan Erling Haaland menjadi wira Manchester City apabila masing-masing meledak dalam kemenangan bergaya 4-1 ke atas Borussia Dortmund dalam saingan Champions League.
Dipetik dari BBC, pasukan kendalian Pep Guardiola kini kekal tanpa kalah dalam empat perlawanan pembukaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga keempat fasa liga.
Dortmund bermula garang, namun City segera menguasai permainan selepas Foden membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi rembatan rendah yang cantik ke penjuru gawang untuk gol pertamanya dalam Champions League sejak setahun lalu.
Haaland menggandakan kedudukan tujuh minit kemudian selepas menyambar hantaran Jeremy Doku, sebelum Foden menambah jaringan kedua peribadi pada minit ke-57 dengan sepakan melengkung yang menawan.
Dortmund sempat merapatkan jurang melalui Waldemar Anton, namun pemain gantian Rayan Cherki memastikan kemenangan selesa City dengan jaringan keempat pada masa tambahan.
Kemenangan ini mengukuhkan reputasi City sebagai antara pasukan pilihan utama untuk mara ke pusingan 16 terbaik musim ini.