Walk with Al-Sultan Abdullah: Langkah bermakna demi perpaduan dan warisan sukan negara
Stadium Merdeka semalam menyaksikan satu peristiwa bersejarah apabila Malaysia meraikan semangat perpaduan dan warisan sukan negara menerusi inisiatif “Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports”, anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama ShekhinahPR.
Dipimpin oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, acara ini menghimpunkan lebih 150 legenda dan bekas atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Antara yang hadir termasuk Datuk Leong Mun Yee, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Shanti Govindasamy, Datuk Santokh Singh, Datuk Soh Chin Ann dan Datuk Rashid Sidek.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan RM60,000 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan RM40,000 kepada Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri & Kebangsaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Dato’ Christopher Raj, penganjuran ini adalah penghormatan terhadap jasa wira sukan negara dan lambang perpaduan rakyat.
Acara yang diakhiri dengan Majlis Santapan Petang Diraja itu menjadi simbol kasih diraja terhadap dunia sukan serta inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu, aktif dan berbangga dengan warisan negara.